Wednesday, May 14, 2008

Ibrahim (Abraham)

7 Jamadil Awal

Dalam kitab Stories of the Prophets- Ibn Kathir, terjemahan Sheikh Muhammad Gemeiah; penerbit Islamic Book Services, New Delhi India, diberikan silsilah nabi Ibrahim sebagai berikut:

Abraham ibn Tarikh ibn Nahur ibn Sarough ibn Raghu ibn Phaligh ibn Aher ibn Shalih ibn Arfghshand ibn Sam ibn Nuh.

Namun begitu, pengarang menyatakan bahawa ianya adalah pendapat ahlul kitab atau israeliyat. Dalam silisilah diatas dinyatakan bahawa nama bapa nabi Ibrahim adalah Tarikh walhal dalam al-Qur'an surah al-An'am disebut bahawa nama bapa baginda adalah Azar. Ulama'-ulama' telah membahathkan perkara ini maka saya tidak mahu mengulas lanjut. Jika silsilah diatas benar, maka nabi Ibrahim adalah keturunan ke-10 nabi Nuh melalui anaknya Sam sedangkan Namrud adalah dari keturunan ke-7 dari anaknya Ham.

Semasa kelahiran nabi Ibrahim, penduduk-penduduk negeri Babil telah pun memulakan amalan menyembah berhala-berhala dan mempercayai terdapatnya hubungan di antara perjalanan bulan dan bintang dengan nasib seseorang. Saat-saat sebelum kelahiran nabi Ibrahim, Namrud telah mengeluarkan arahan agar anak-anak lelaki yang baru dilahirkan dibunuh dengan kejam kerana satu mimpi yang dia alami yang ditafsir oleh ahli-ahli nujum diraja, sebagai ramalan tentang kelahiran seorang bayi lelaki yang akan menghancurkan kerajaan Namrud.

Nabi Ibrahim akhirnya lahir juga ke dunia walaupun seluruh kerajaan Namrud cuba menghalang dari ianya berlaku. Ramalan tentang pertembungan seorang lelaki yang akan berhadapan dengan kebatilan Namrud dan menghancurkannya, telah menjadi satu catatan sejarah yang diabadikan dalam al-Qur'an. Selepas kefahaman batil Namrud berjaya di patahkan, Namrud yang tidak berpuas hati itu telah memerintahkan penangkapan baginda dan memerintahkan agar baginda dibakar hidup-hidup. Ini adalah cubaan terdesak Namrud untuk cuba menegakkan kembali kefahaman palsunya (bahawa dia berkuasa dan mampu mentadbir alam) dikalangan rakyat jelata tetapi sebagaimana yang kita ketahui, cubaan ini juga telah digagalkan oleh ALLAH. Namrud dan penduduk Babil telah ditambahkan penghinaan diatas mereka kerana ALLAH telah menampakkan qudratNya kepada mereka. Nabi Ibrahim telah diselamatkan ALLAH didalam api dimana baginda tinggal didalamnya tanpa terbakar walaupun seurat rambut di badan baginda serta dipelihara dan diberi rezeki juga didalam api.

Selepas berjaya melepaskan diri dari cubaan Namrud untuk membunuh baginda, Nabi Ibrahim dikatakan telah meninggalkan Babil bersama isteri (juga sepupu) baginda Sarah dan anak saudara baginda- Lot. Riwayat-riwayat mengatakan bahawa baginda telah singgah serta tinggal dibeberapa tempat yang telah pun ada penempatan manusia. Diantara tempat persinggahan baginda ialah Mesir. Permulaan persinggahan baginda di Mesir, penguasanya diketahui merupakan seorang yang zalim yang gemar merampas isteri-isteri orang dan mencabul mereka sedangkan suami-suami mereka dibunuh. Namun begitu cubaan jahat penguasa tersebut terhadap Sarah telah digagalkan oleh ALLAH juga. Akhirnya melihatkan kelebihan yang terdapat pada nabi Ibrahim dan keluarganya, raja tersebut telah menghadiahkan anaknya sendiri- Hajar (dalam setengah riwayat namanya adalah Hajra), untuk menjadi pembantu kepada nabi Ibrahim dan Sarah.

Setelah tinggal dengan aman di Mesir untuk beberapa lama, akhirnya baginda telah membuat keputusan agar Lot, yang kemudiannya telah diangkat oleh ALLAH menjadi nabi dan rasul, berhijrah ke timur ke arah Jordan (Sodom dan Gemorah) manakala baginda sendiri berhijrah ke bumi Canaan (Palestin sekarang). Tujuan penghijrahan ini adalah untuk mendakwahkan keesaan ALLAH dikalangan penduduk-penduduk di tempat-tempat tersebut dan juga yang ditemui sepanjang perjalanan mereka. Kebiasaan dizaman itu, nama-nama sesuatu penempatan di beri mengikut nama orang yang mula-mula sampai ke tempat tersebut dan mengasaskan penempatan di situ. Bangsa-bangsa tertentu terbentuk dengan percambahan zuriat manusia yang berkahwin sesama mereka dan membentuk kumpulan-kumpulan penempatan. Penempatan pada awalnya biasanya mengikut kumpulan saudara-mara yang terdekat.

Hayat baginda dan nabi Lot menampakkan perjuangan yang tidak putus-putus untuk menegakkan haq di tengah-tengah kebatilan yang sentiasa cuba ditegakkan oleh manusia-manusia yang menjadikan iblis dan syaitan sebagai ketua-ketua mereka. Namun perancangan ALLAH sentiasa mengatasi perancangan manusia. Pertembungan langsung diantara haq dan batil sentiasa berulang-ulang didalam lipatan sejarah manusia dan akan berterusan sehinggalah ke hari qiamat.

Manusia-manusia dizaman ini juga akan dapat melihat pertembungan yang serupa jika ALLAH mengizinkan kita untuk hidup ke saat itu. Dalam budaya Yahudi dan Keristian, kepercayaan terhadap Argmageddon (pertembungan terakhir) memang diyakini berada diambangnya.

Dilihat dengan secara teliti, perjuangan nabi Ibrahim adalah untuk menghancurkan usaha-usaha:

1. yang cuba menafikan campur tangan pencipta dalam urusan manusia; &
2. kefahaman bahawa manusia mampu untuk menguruskan diri mereka sendiri.

Pada hari ini, usaha 'revival of Babylon' berlaku secara halus sehinggakan manusia, termasuk mereka yang mengamalkan agama, tidak sedar bahawa mereka terjerat dalam jaringan-jaringan yang cuba menyebar dan menegakkan dakyah ini dalam kehidupan seharian mereka. Usaha ini (sebagaimana akan cuba dibuktikan) pada zaman mutakhir ini, dilakukan oleh keturunan bangsa yang telah diberitahu didalam Qur'an dan hadith Rasulullah saw, oleh bangsa Ya'juj dan Ma'juj atau di kalangan Yahudi dan Keristian, dikenali sebagai Gog and Magog.

No comments: